Makcik 61 Tahun Naik Motorsikal 260km Ke Himpunan Oren


KUALA LUMPUR, 15 JULAI : Kerana tidak sanggup lagi melihat penipuan dan kepapaan yang berlaku di dalam Felda, seorang makcik 61 tahun sanggup menunggang motorsikal sejauh 260 km untuk hadir ke Himpunan Oren Selamatkan Felda di sini semalam.

Kesungguhan dan kecekalan Salmiah Mat Jali dari Felda Ijok, di Larut, Perak itu mendapat perhatian peserta di himpunan depan Istana Negara. Lebih lagi apabila Salmiah memberitahu dia melakukan perjalanan itu seorang diri.

“Dari Larut sehingga ke sini adalah dalam 260 kilometer. Makcik bertolak sejak awal pagi-pagi lagi,” ujar Salmiah yang hadir pada himpunan yang bermula sekitar jam 1 tengahari semalam.

Ketika ditanya adakah beliau risau untuk merempuhi perjalanan yang agak jauh seorang diri, Salmiah berkata:

“Makcik dah biasa dah.” Beliau berhenti di dua kawasan Rehat dan Rawat (R & R) di Lebuhraya Utara-Selatan untuk berehat semasa perjalanannya.

Ketika diwawancara, Salmiah masih lagi memakai topi keledarnya dengan bertudung warna oren.

Menurut Salmiah, beliau sanggup turun ke perhimpunan itu semata-mata menyatakan sokongan padunya kepada himpunan yang mahu campurtangan Yang Dipertuan Agong bagi membatalkan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Kemuncak perhimpunan itu adalah serahan memorandum yang digubal Gabungan NGO Gerakan Selamatkan Felda (GSF) kepada pegawai Yang Di-Pertuan Agong.

Salmiah berkata, ketidakadilan agihan saham FGVH kepada peneroka berbanding pelabur adalah antara sebab yang mencetuskan kemarahannya sehingga sanggup datang daripada jauh untuk himpunan tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...